PEMANDU TEKSI BERBILANG BANGSA SYUKUR TERIMA KURNIAAN SULTAN JOHOR
Pemandu teksi berbilang agama dan bangsa di daerah Johor Bahru, yang segelintir mereka terjejas pendapatan akibat penularan wabak COVID-19 sejak tahun lalu bersyukur di atas kurniaan peribadi daripada DYMM Sultan Johor.
Sumbangan daripada Baginda Tuanku Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar disampaikan kepada 300 pemandu teksi oleh Juruiring Baginda, Kolonel Mohd Shawal Arbanyin di Stulang Walk, Johor Bahru pada hari ini (9 Mac).
Mohd Aidil A. Kadir, 40, berkata pendapatan sebilangan besar pemandu teksi terjejas sejak penularan wabak COVID-19 pada tahun lalu.
"Kadang-kala pengambilan penumpang tidak tentu, namun tetap gigih meneruskan kerja kami setiap hari bagi mencari pendapatan harian.
"Saya sungguh bersyukur dan berterima kasih kepada DYMM Sultan Johor di atas kurniaan ini, ia amat bermakna lebih-lebih lagi pada masa sekarang di mana kos kehidupan semakin mencabar," katanya kepada Royal Press Office (RPO).
R. Nagaraje, 56, yang sudah lebih 20 tahun menjadi pemandu teksi, berkata DYMM Sultan Johor amat menitikberatkan kebajikan rakyat.
"Baginda Tuanku Sultan dan Keluarga DiRaja Johor banyak menyampaikan sumbangan dari semasa ke semasa kepada golongan memerlukan.
"Kami sangat bertuah menjadi Bangsa Johor kerana DYMM Sultan Johor amat prihatin terhadap rakyat Baginda," katanya.
#sultanjohor
#royalpressoffice
#johor